Ads 468x60px

Saturday 20 July 2013

Winter 2013 - Travelling around Balkans



Tahun ini kami ingin mencuba gaya travel yang baru.Jadi kami bercadang menaiki bas dari Istanbul,Turkey ke 12 negara dan kembali semula ke Istanbul selepas 3 minggu.

 Pada hari yang ke 8 perjalanan,kami telah tiba di Montenegro,sebuah negara yang beberapa tahun dahulu merupakan sebahagian daripada Negara Serbia.Kami berada di Podgorica,ibu Negara Montenegro hanya untuk beberapa jam disebabkan kami ingin segera tiba di Sarajevo,Bosnia Herzegovina.

 Setibanya kami di Stesen bas utama Podgorica,kami bergegas ke kaunter tiket,kami telah menempah 5 tiket bas ekspress dari Podgorica ke Sarajevo.Apabila kami ingin mendapatkan tiket tersebut,juruwang di kaunter menyatakan bahawa jadual bas Podgorica-Sarajevo telah dibatalkan.Hal ini disebabkan ribut salji yang teruk di bahagian utara Negara Montenegro dan Selatan Bosnia.Maka kami pun membuat keputusan untuk bermalam di Podgorica untuk satu malam dan ingin membeli tiket Podgorica-Sarajevo untuk tarikh berikutnya.Akan tetapi kami semua terkejut apabila juruwang di kaunter berkata “No bus for three days”.Kami tidak boleh tinggal di Podgorica selama 3 malam disebabkan jadual yang padat untuk setiap negara yang seterusnya dan ribut salji berkemungkinan akan berlarutan untuk lebih seminggu .Maka kami perlu ke Sarajevo dengan segera.Kami buntu untuk memikirkan cara ke sana lebih-lebih lagi tiada perkhidmatan keretapi di antara kedua-dua Negara.




 Beberapa minit kemudian,seorang pemandu teksi datang kepada kami,beliau tidak mampu berbahasa inggeris.Beliau menyatakan ingin membawa kami ke Sarajevo,Bosnia dari situ.Jarak destinasi di antara kedua bandar ini ialah 300km.Pemandu teksi tersebut menawarkan tambang sebanyak 150 euro untuk kami berlima.Kami berfikir panjang untuk menerima tawaran beliau,tetapi akhirnya kami setuju memandangkan itu adalah satu-satunya cara untuk kami ke Sarajevo.Pemandu teksi tersebut menyatakan bahawa kami perlu bertolak secepat mungkin dari situ kerana beliau khuatir jalan di bahagian utara Montenegro akan ditutup untuk kenderaan ringan.Lebih-lebih lagi laluan untuk kenderaan berat telah ditutup oleh pihak berkuasa.Oleh itu,kami terus menaiki teksi tersebut dan hanya bertawakkal untuk perjalanan kami.

 Jam menunjukkan pukul 11 malam.Tiba-tiba pemandu teksi yang kami naiki mendapat panggilan telefon.Seterunya beliau cuba berinteraksi dengan kami,tetapi kami tidak faham,kerana beliau menggunakan bahasa Montenegrin.Beliau berhenti di stesen minyak terdekat,dan cuba mendapatkan orang untuk menterjemah kepada bahasa inggeris.Seorang wanita sudi membantu untuk menterjemah.Wanita tersebut memberitahu kami bahawa pemandu teksi itu telah mendapat panggilan telefon dari rakannya yang arif tentang jalanraya di Montenegro.Dan jalan utama untuk ke Bosnia telah ditutup berikutan salji yang lebat!Kami makin tertekan.Pemandu teksi menyatakan bahawa beliau terpaksa membawa kami memasuki Bosnia melalui jalan sempadan yang terpencil,iaitu berdekatan dengan negara Croatia.Kami bersetuju,kerana beliau tidak menaikkan harga tambang yang telah dipersetujui.

 Perjalanan kami diteruskan menuju pintu sempadan.Jalan yang kami lalui untuk ke sempadan sangat kecil,dan hanya dilalui oleh lori-lori pengangkut.Pemanduan yang teliti diperlukan kerana salji dan kabus semakin menebal.Jalan yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan teksi kami terhuyung hayang.Tiada lampu jalan mahupun penghadang di sekeliling jalan.Pemandu teksi mengatakan kami akan sampai ke pintu sempadan pada pukul 1 pagi.Tiada penempatan di akhir perjalanan kami.Yang dapat dilihat hanya lori-lori pengangkut yg tersadai di tepi jalan.Pemandu teksi kami memberi pesan untuk berkelakuan baik apabila di hadapan polis sempadan nanti.Beliau bercakap dalam bahasa montenegrin akan tetapi kami dapat mengagak maksud beliau.Kami semua tidak sabar untuk memasuki sempadan Negara Bosnia kerana hubungan dua hala antara Malaysia dan Bosnia amat kukuh,sehinggakan mereka menyanjung orang-orang Malaysia.

 Jam tepat pukul 1 pagi,kami telah tiba di pintu sempadan bahagian Montenegro.Kami diminta turun dari teksi dan diwajibkan menjalani pemeriksaan secara penuh.Jadi kami terpaksa membuka dan memunggah backpack kami.Polis di sempadan Montenegro sangat peramah.Walaupun kami terpaksa memunggah semua beg, kami tidak berasa marah kepada mereka kerana tingkah laku mereka yang baik serta suka bergurau.Pemeriksaan mengambil masa 30 minit,dan kami menaiki teksi semula.Polis yang bertugas memberikan kami sekotak coklat sebagai hadiah.Kami tersenyum lega dan meneruskan perjalanan ke pintu sempadan bahagian Bosnia.

 “Ah,mesti senang nak masuk Bosnia.orang dia baik-baik” kataku kepada 4 orang rakan yang lain setibanya di pusat kawalan polis sempadan Bosnia.Hanya terdapat sebuah pondok polis di sana,tiada lampu,yang ada hanya lampu malap dari dalam pondok polis.Pemandu teksi memberhentikan kereta di tepi pondok polis.Kelihatan dua orang polis sempadan datang kepada kami.Salah seorang dari mereka menyuruh aku masuk ke dalam pondok polis.Dengan tenang hati,aku menunjukkan passport kepada mereka.Aku berasa pelik,riak wajah mereka berubah selepas melihat passportku yang menunjukkan kewarganegaraan Malaysia.Aku tidak pernah mendengar sebarang masalah untuk memasuki Negara Bosnia sebelum ini.Hatiku berdegup kencang,risau jika apa-apa terjadi.Kemudian polis itu mengarahkan aku memanggil rakan-rakan yang lain untuk masuk ke dalam.Aku diminta tunggu di luar.Memandangkan suhu mencecah -13 darjah celcius,aku berasa amat tidak selesa.

 Setelah setengah jam menunggu,polis tadi memanggilku semula untuk masuk.Mereka mengatakan rakan-rakanku tidak mempunyai duit yang cukup untuk memasuki,iaitu minimum 100 euro untuk seorang.Beliau mengatakan itu adalah polisi sempadan Negara.Seterusnya aku menerangkan kepada kedua-dua orang polis tersebut bahawa aku merupakan ketua dalam perjalanan kami,maka duit mereka dipegang oleh aku,lantas,aku menunjukkan 500euro dari dalam dompetku.Aku berasa lega,kerana aku merasakan mereka tiada lagi alasan untuk melarang kami memasuki Bosnia.Kemudian,aku lihat mereka berdua berbincang sesuatu.Beberapa minit kemudian polis itu memberikan sepucuk surat yang ditulis dalam bahasa Bosnia.Aku tidak faham,kemudian beliau mengatakan sesuatu yang aku tidak jangka.Beliau mengatakan kami perlu mempunyai 200euro seorang!

 Aku berasa teramat marah,kerana mereka secara tiba-tiba mengubah polisi yang sepatutnya aku telah penuhi.Aku bertanya dengan nada marah mengapa kami perlu menunjukkan 1000 euro sedangkan sebelum ini hanya 500 euro untuk 5 orang.Dengan selamba polis itu berkata bahawa ini polisi sempadan Negara.Aku tahu mereka tipu.Aku meminta izin mereka untuk membuat panggilan ke kedutaan Malaysia di Sarajevo.Mereka terus menolak,hal ini membuat aku semakin tidak puas hati,kerana mengikut undang-undang,pelancong mempunyai hak untuk membuat panggilan ke kedutaan sekiranya apa-apa berlaku di pintu sempadan.Kami tidak boleh membuat sebarang panggilan menggunakan telefon bimbit kami,disebabkan kawasan pintu sempadan yang amat terpencil dan dilitupi hutan serta bukit bukau.Polis tadi menyuruh kami pergi ke Bandar terdekat untuk mengeluarkan duit kemudian perlu masuk semula dalam tempoh 24jam,jika tidak,mungkin nama kami akan di senarai hitamkan.Maka kami langsung tidak dapat masuk Negara Bosnia.

Hal ini juga akan menyusahkan kami untuk meneruskan perjalanan ke Negara-negara lain.Aku bertanya apakah nama Bandar terdekat yang mempunyai bank.Pemandu teksi menyatakan bandar yang terdekat bernama Niksic,dan yang paling mengecewakan,ialah apabila beliau memberitahu kami bahawa jarak ke situ ialah,60 km!.Lantas aku memberitahu rakan-rakan yang lain yang sedang menunggu di dalam kereta,mereka semua keluar untuk berunding,tetapi polis enggan melayan dan hanya mengarahkan kami untuk beredar.3 jam kami menunggu di pintu sempadan hanyalah sia-sia .

 Kami terpaksa akur.Kami terpaksa menaiki teksi untuk ke Bandar Niksic.Kini jam telah menunjukkan pukul 4 pagi.Pemandu teksi menyatakan beliau tidak mampu untuk membawa kami terus ke dalam Bosnia.Maka beliau hanya ingin meninggalkan kami di stesen bas utama Niksic,dan beliau menyuruh kami mengambil bas pagi ke Bandar Trebinje yang terletak di dalam Republika skrpska.Aku pelik,bukan Bosnia kah yang aku akan masuk?Rupanya di dalam Negara Bosnia terdapat sebuah republik yang dihuni oleh orang2 yang berbangsa serb.Ah,sia-sia sahaja 150 euro kami,kerana terpaksa membayarnya kepada pemandu teksi walaupun tidak sampai di destinasi yang diinginkan.

 Kami mendapat Bas untuk ke Bandar kecil Trebinje pada pukul 8 pagi.Dan dari situ kami akan mengambil bas ke Sarajevo,ibu Negara Bosnia.Kami mengeluarkan sejumlah wang yang besar dari mesin ATM kerana tidak mahu ditahan lagi di pintu sempadan.Setibanya di pintu sempadan bahagian Montenegro,polis di sana bertanya kepada kami apakah yang beraku kerana passport kami sudah dicop keluar dari Montenegro,dan masuk semula dalam satu malam.Kami menerangkan bahawa kami tidak mempunyai cukup wang untuk masuk,dan kami menunjukkan surat yang diberi oleh polis sempadan bahagian Bosnia malam tadi.Polis disitu terkejut dan menterjemahkan apa yang ditulis oleh polis malam tadi.Polis tersebut rupanya menulis di dalam surat itu bahawa kami tiada tujuan untuk masuk ke bosnia,bukannya kerana tidak mempunyai wang yang cukup.Maka kami pun dapat membuat kesimpulan bahawa polis yang menahan kami malam tadi tidak mahu kami memasuki negara Bosnia.


 Di pintu sempadan Negara Bosnia,kami nekad,kami sudah tawar hati kerana polis Bosnia kerana telah menyusahkan kami pada malam tadi.Tetapi kami berasa pelik,kali ini kami amat mudah untuk masuk melalui sempadan.Selepas itu terus menuju ke Trebinje,dan melalui hutan-hutan simpan yan terdapat di Republik skrpska.Rasa berbaloi bersusah payah kerana kami dapat melihat pemandangan yang amat cantik dan menakjubkan di sepanjang perjalanan.


Setibanya di Trebinje,kami berehat seketika di sebuah kafe untuk menikmati kopi tradisi mereka.Di situ kami mendapat akses internet.Setelah itu kami mencari maklumat tentang Republik Skrpska,dan kami faham.Penduduk yang tinggal di kawasan Republic Skrpska sebenarnya tidaklah sama dengan bangsa Bosnia.Mereka merupakan puak serb yang beragama kristian yang tinggal di dalam Negara Bosnia.

Selepas perang Serbia-Bosnia tamat,mereka terpaksa berada di dalam Negara Bosnia Herzegovina.Kebanyakan mereka masih tidak menerima Bosnia sebagai Negara mereka.Justeru,mereka mendapat autonomi dan mempunyai kerajaan sendiri.Di trebinje,Republik Skrpska,kami dapat melihat bendera Serbia di merata-rata tempat,bersama dengan bendera rasmi Republik Skrpska.Tiada satu pun bendera Bosnia Herzegovina yang kelihatan.Mereka amat membenci orang-orang Islam.Mungkin peristiwa malam tadi berkaitan dengan sentimen perkauman dan kebencian kepada kami.Kami juga mendapat tahu bahawa Bandar Trebinje merupakan Bandar yang aktif dengan pengganas Serb,yang membenci Islam.Kami terus menghirup kopi dan beredar setelah lama diperhatikan orang-orang sekeliling.

0 comments:

Post a Comment