Ads 468x60px

Sunday 21 April 2013

Jelajah 87 Hari


JELAJAH EROPAH MUSIM PANAS



 29 Mei 2012 yang lalu, saya bersama Soleh, Iqbal dan Yaqzan pergi mengembara ke Eropah selama tiga bulan atau yang tepatnya, 87 hari. Itulah kali pertama kami meninggalkan bumi Jordan -tak termasuk umrah di Arab Saudi- dan perasaan kami agak gemuruh.

Walaupun begitu, boleh dikatakan kami telah cukup menyediakan segala benda, dari tiket pengangkutan hinggalah ke makanan kering seperti biskut dan mi segera, tak kurang juga duit poket dan juga tawakkal di dada. Setelah siap solat safar, kami dilambai pergi oleh rakan dan taulan.

     Secara kasarnya, untuk 60 hari yang pertama, kami akan banyak bermusafir menggunakan tiket Eurail Global Pass, yang khusus untuk perjalanan kereta api di Eropah. Tiket itu kami beli di syarikat agensi Tantash Travel & Tours yang terletak di Balad Irbid. Satu tiket berharga JOD 850; apabila saya kira-kira balik dengan harga atas talian, syarikat itu hanya mengambil upah sebanyak JOD 5 sahaja atau lebih. Manakala, untuk 25 hari yang terakhir, kami akan mengunjungi Great Britain berpandukan Shaheer, rakan seKisas yang tinggal di Manchester.

     Kami telah merangka perjalanan kami dengan agak teliti juga, yang dimulai secara serius pada pada awal semester kedua 2012, iaitu pada bulan Januari. Banyak faktor yang kami ambil kira sewaktu membuat itinerari kami, antaranya ialah perkara-perkara yang berkaitan tempat tidur kami, harga tiket penerbangan dan feri, tempat-tempat tarikan tumpuan pelancong dan juga visa.

Berkaitan dengan tempat tidur kami, selalunya, kami akan memilih perjalanan yang membolehkan kami untuk tidur di dalam kereta api sahaja pada waktu malam yang istilahnya dipanggil sebagai "Night Train", sebagai contoh, perjalanan dari stesen Santa Apolonia, Lisbon ke Chamartin, Madrid pada pukul 2118 akan mengambil masa sebanyak 11 jam. Kalau tidak pun, kami akan cuba pastikan melalui internet yang stesen kereta api atau lapangan terbang itu dibolehkan untuk tidur di dalamnya dan selamat. 

Selainnya, kami akan memilih tempat tidur yang paling murah yang cukup kami sebilik empat orang tapi mesti mempunyai kemudahan-kemudahan seperti ruang memasak, ruang membasuh dan wifi. Tapi bukan setiap hari kami akan menempah hostel, paling minimum dalam seminggu itu ada sekali kami menempah bilik, cukup sekadar untuk mandi sepuasnya dan membasuh baju yang terpakai. 
      
     Kami juga telah melakukan sebanyak 5 kali penerbangan; 4 daripadanya dengan Easyjet dan yang satu lagi bersama Ryanair. Satu cara untuk mendapat tiket murah daripada penerbangan tambang murah tentunya adalah dengan tempahan awal. Kami juga berkesempatan menaiki feri sebanyak tiga kali; pertama semasa perjalanan ulang-alik antara Helsinki dengan Stockholm, yang terakhir sewaktu pergi ke Rosslare, Ireland dari Cherbourg, Perancis. Sebagai pemegang tiket Eurail, kami sebenarnya berhak untuk menerima diskaun apabila menempah tiket feri di beberapa laluan, maka sebab itulah kami naik feri, nak rasa punya fasal.

     Maka, mulalah kami merancang itinerari seperti yang tertera dalam gambar di bawah. Tak dinafikan, ada ketika kami terpaksa menukar itinerari kami disebabkan hal-hal yang tak dapat dielakkan. Contohnya selepas berada di Nice, Perancis, kami bercadang untuk transit di Basel, Switzerland sebelum bergerak ke Interlaken. Tapi, disebabkan tiket kereta api untuk ke Basel telah habis hingga ke tiga hari seterusnya, kami telah mengambil keputusan untuk terus ke Rom, Itali, manakala masa ke Interlaken akan dianjakkan kemudian.


Ada juga disebabkan kealpaan kami juga, contohnya ketika hendak masuk menuju ke Belgrade, Serbia, kami telah ditahan di pintu imigresen Serbia di Subotika dan dipaksa pulang semula ke Budapest, Hungary disebabkan tiada visa. Agak ralat jugalah kami pada waktu itu, sepatutnya kami cek keperluan visa untuk semua negara, tapi kami hanya cek untuk beberapa negara sahaja yang jarang-jarang warga Malaysia di Jordan pergi, seperti negara Greece dan juga negara-negara Skandinavia.

     Orang selalu kata, jauh perjalanan luas pemandangan. Selepas habis permusafiran, malahan ketika perjalanan lagi saya dapat merasai erti peribahasa tersebut. Antara cerita yang saya boleh nukilkan di sini adalah pertama, cerita sewaktu saya di Andorra; dan yang kedua, ketika dalam perjalanan pulang dari menara Pisa...


Embah Andorra

Petang itu, cuaca sungguh mendamaikan. Angin lembah meniup sejuk. Kami baru sahaja selesai merakam video ulasan detik cemas kami di Lisbon. Tekanan jiwa kami hilang diubati oleh pemandangan Andorra la Vella yang seluas mata memandang dari lereng lembah.


     Saya dan Iqbal mendahului Yaqzan dan Soleh menuruni anak tangga, meninggalkan mereka berdua untuk mengambil memori kenang-kenangan di Andorra la Vella. Memang rugi jika sudah sampai ke tempat yang agak mustahil untuk sampai kali kedua, cantik pula tu, tapi tak ambil gambar. Sehingga sekarang, saya masih rasa agak ralat untuk tidak bersungguh dalam mengambil gambar kenangan, cukup sekadar hanya lepas syarat sahaja, dek dikekang oleh perasaan penat yang menyelubung diri.

     Kami turuti anak tangga tu lambat-lambat, sesekali apabila sampai ke kawasan yang indah pemandangannya dari atas, kami berhenti sekejap, menghayati kecantikan alam ciptaan sang khaliq, sambil memuji-mujiNya.


     Sedang kami menikmati keindahan yang tak terkata itu, kami berselisih dengan seorang nenek bersama anjingnya, membawa sebuah bag plastik. Kami berdua memerhati beliau. Selang setiap kumpulan anak tangga yang dituruninya, beliau berhenti sekejap. Saya fikir beliau mungkin juga seperti kami, ingin menikmati pemandangan indah itu hingga hayat dikandung badan.

     Selang beberapa minit selepas itu, Iqbal mengajak saya, "weh, jom tolong nenek tu, kesian dia angkat bag plastik tu seorang-seorang". Saya berhenti dari lamunan, sambil mengorak langkah, mengeji diri yang tidak sensitif.

     Akhirnya, kelibat nenek itu kelihatan kembali. Anjingnya yang putih comel setia menemani di sisi, tidak sekali pun terpisah dari tuannya. Saya memberanikan diri mendekati nenek tua itu. Apabila beliau perasan akan kehadiran saya, saya berkata, "do you need help, ma'am?". Beliau mengerutkan dahi, tak faham. Saya memang ada ambil subjek bahasa Sepanyol pada semester yang lepas, tapi tak tahu macam mana, terlintas dalam fikiran perkataan ajuda. Sambil tangan saya membuat aksi mengangkat-angkat barang, saya sebut ajuda, ajuda, kalimah sepanyol yang bermaksud pertolongan.

     Terus berubah muka beliau, keriangan! Saya pun mula mengambil bag plastik itu, tetapi teragak-agak kerana kewujudan anjing yang sederhana besar itu. Nenek itu perasan ketidakselesaan saya, terus memanggil anjing itu kepadanya. Saya sebenarnya tak takut dengan kelibat anjing, malah pernah terfikir untuk membela anjing selepas menonton filem Hachiko -filem inspirasi yang wajib tonton!- cuma malas untuk bersamak kalau-kalau anjing itu menjilat saya. Haha.

     Patutlah lelah ja tengok nenek tu bawa beg plastik tu, memang berat beg tu. macam ada baja dan beberapa peralatan, untuk bercucuk tanam mungkin.

     Setelah sampai ke lif rumah apartmen beliau, beliau mengucapkan gracias, sambil mencium pipi saya beberapa kali. Saya terpaku. Sungguh usianya senja, tapi tidak dikenalkan dengan Islam. Tetiba rasa sungguh bersalah tidak menyampaikan islam kepadanya. Ingin sahaja saya tarik tangannya, masuk ke agama murni itu. Ralat, sungguh saya rasa ralat. Semoga Allah memberinya hidayah dan taufiq. Semoga Allah menjadikan saya da'ie tegar di Malaysia nanti, mengajak rakan-rakanku dan jiran-jiranku mengenali Islam. Semoga allah memberikan kepada mereka yang belum Islam, taufiq dan hidayah. Amin!

SASOL Pisa

Tersenyum lebar, puas! Berbunga-bunga hati kami apabila dapat melihat dengan dekat menara Pisa. Masing-masing menceritakan perasaan masing-masing dalam koc kereta api itu. Kami ambil seat yang berhadapan dengan satu sama lain. Sebenarnya, kami boleh pilih mana-mana seat yang kami ingin duduki kerana kereta api laluan Pisa-Florence jenisnya free-seating, yang bermaksud sesiapa yang mempunyai tiket boleh duduk dimana-mana yang mereka suka dalam gerabak tertentu.

Selalunya, kami akan berpecah untuk duduk bersebelahan tingkap, tapi disebabkan dalam perjalanan pulang itu agak ramai juga yang bergerak daripada Pisa menyebabkan kami duduk bersama.


Kenapa nak duduk sebelah tingkap? Supaya kami dapat menikmati pemandangan luar tingkap dengan lebih dekat. Kenapa duduk bersama? sebab nak beri peluang kepada pelancong yang lain untuk duduk bersama kumpulan mereka.

     Dah penat bersembang, mata kami hanya dihalakan ke arah tingkap, melihat alam ciptaan tuhan. sekali-sekala memandang juga tingkah-laku pelancong lain, yang kalau remaja, tentunya bising, bukan takat bergelak-tawa, tapi bergelak-gempita, entah apa yang disembang bersama, perjuangan umat agaknya. kalau yang berkeluarga pula, si ibu bapa sibuk melayan kerenah manja anak masing-masing, ada juga pasangan warga emas yang lagaknya semanis kisah percintaan Carl & Ellie Fredrickson.

     Ketika mana kami sibuk melayan perasaan masing-masing, tiba-tiba, datang seorang wanita ke arah tempat duduk kami, sambil bertanya ke arah saya dalam bahasa Inggeris, "eh, kamu ni orang Indonesia kan?" kami kabur. ''Jepara, Jepara?'' Soleh menidakkan kerana Jepara itu di Indonesia, walhal kami orang Malaysia. Saya menyambung Soleh, "tak, tak, kami orang Malaysia". "oh, maaf, saya ingatkan awak orang Indonesia, sebab lebih kurang sama!", balasnya. saya pun balas, tersengih, "err, saya memang ada asal-usul Indonesia, sebab moyang saya orang Jawa". "oh, minta maaf, saya bukan apa. Suami saya dan saya ada syarikat mengimport kayu jati dari Indonesia ke Afrika Selatan, saya macam seronok dapat berjumpa dengan kamu, sebab orang Indonesia baik-baik...", balasnya girang.

     "Err, puan dari Afrika Selatan kah? Saya memang minat pasukan ragbi Springboks. Mereka hebat", saya cuba memancing beliau. sebenarnya, saya tak ikut sangat perkembangan sukan ragbi, sekadar pernah bermain sewaktu di Kisas dan ada lah satu kejohanan yang saya sertai, berakhir sebagai Juara peringkat daerah Klang. tak terungkap betapa gembiranya kami, cikgu Shaiful Bahri, dan juga almarhum cikgu Nik Ramly merangkul kejuaraan julung-julung kali itu bagi Kisas.

Dalam banyak-banyak pemain ragbi dunia pun, yang ada dalam ingatan hanyalah nama-nama seperti Jonah Lomu, Tana Umaga, Jonny Wilkinson, Jason Robinson, Sonny Bill Williams -yang baru memeluk Islam pada tahun 2008-, Manu Tuilagi dan yang paling legenda, Sebastian Chabal The Caveman!

     Wanita elegan itu menutup mulutnya dengan hujung jari sambil berkata ,"oh, ya kah? Hebat kan mereka? Saya memang memberi sokongan 100% kepada Springboks!". Semangat beliau. Heh. Saya agak kesian jugalah kepada mereka yang bertiga tu sebab muka mereka terpinga-pinga, tak ada idea sangat fasal sukan itu untuk mencelah perbualan kami.

     Dalam kembara Eropah ini, sebenarnya saya telah beberapa kali disapa oleh orang Afrika Selatan, kali pertama di Amman, sebelum bersedia masuk ke dalam pesawat, kali kedua, di Rome, ketika mundar-mandir di sekitar bandar.


Saya disapa selalunya ketika memakai baju Springboks itulah, yang tulisan SASOL terpampang jelas di hadapan baju, hadiah daripada abang Khairi, abang ke-3 saya yang gila ragbi! SASOL sebenarnya adalah akronim kepada Suid Afrikaanse Steenkool en Olie, sebuah syarikat Afrika Selatan yang terlibat dalam industri minyak petroleum dan arang batu.

     Ketika di Amman itu, wanita yang sapa saya itu sempat bertanya saya -kerana baju SASOL itu lah- dengan nada tegas, "kamu sokong pasukan mana?", gayanya mengalahkan rimau yang ingin menerkam mangsanya, cuma dengan senyuman manis. Setelah saya pilih Afrika Selatan sebagai jawapan, mukanya kembali tenang, masih lekat dengan senyuman tidak pudar-pudar, bukan seperti suaminya yang duduk bersebelahan, hanya diam seribu bahasa, penat barangkali meneroka Petra. haha. 

     "Bagus, sokonglah Springboks sehingga bila-bila pun, walaupun pasukan kita kalah, ok!", sambungnya lagi. Saya anggukkan sahaja, tersenyum melihat wajahnya yang tak lekang dengan senyuman manis, mengingatkan saya kepada seorang kawan saya yang juga senyumannya menawan, tapi alamak, dah dikebas orang!!!
***
Setelah habis menjelajah Eropah, kadang-kadang saya ada terfikir untuk memperbaiki lagi itinerari kami. Jika diberi peluang kedua untuk merangka dan mengubah kembali itinerari kami menjadi lengkap sempurna, berikut adalah beberapa perkara yang boleh saya nyatakan:

11)    Merangka perjalanan di Andalusia dengan lebih teliti.
Kami tersilap sedikit kerana menjadikan Granada sebagai pusat penjelajahan kami di Andalusia. Kami telah menempah hostel selama 5 hari 4 malam di Granada, dan selepas itu, rupa-rupanya agak susah untuk kami untuk membuat perjalanan satu hari ke daerah yang mempunyai kesan tinggalan peradaban Islam yang lain seperti Cordova dan Sevilla kerana tidak cukup masa.


22)     Permusafiran bermula dari Syria, kemudian ke Turki, seterusnya masuk ke negara-negara Eropah.
Hal ini kerana itinerari begini lebih menjimatkan kerana tidak melibatkan penerbangan pergi balik antara Amman - London. Malah, bermula tahun 2013, Turki telah termasuk sebagai negara yang boleh dilawati dengan kereta api menggunakan tiket Eurail. Tetapi, kami tidak berpeluang kerana pergolakan yang berlaku di Syria ketika ini.

33)     Merasai fenomena 'Midnight Sun' sama ada di Narvik atau Bodo, Norway.
Kami tak berpeluang untuk pergi ke tempat tersebut kerana telah menempah tiket feri pergi balik Stockholm - Helsinki. Jika tidak, tentunya kami akan menjelajah Teluk Bothnia dengan selambanya dan singgah sebentar di Narvik atau Bodo sebelum sampai ke Oslo, Norway.

44)     Memohon visa Serbia lebih awal   
 Disebabkan kesilapan ini jugalah, kami tidak dapat melawat Montenegro -negara yang makin pesat membangun dari sudut pelancongan- walaupun warganegara Malaysia tidak memerlukan visa untuk masuk ke Montenegro.

 Walau bagaimana pun, alhamdulillah saya telah menjejakkan kaki di Eropah! Anda pula bagaimana?


Tamat sudah cerita….

0 comments:

Post a Comment